Friday, 30 October 2015

Masalah yang dihadapi oleh usahawan selama memulakan perniagaan start-up dan selepas start-up.


PRA-START UP


Usahawan merupakan seseorang yang melibatkan diri mereka dengan pengeluaran idea baru yang dapat membantu masyarakat sekitarnya. Antara masalah yang dihadapi oleh usahawan pada peringkat ini ialah:

  1. Usahawan perlu memikirkan idea sebuah produk yang masih belum ada di pasaran.
  2. Usahawan juga perlu memikirkan faktor kewangan yang memainkan peranan penting dalam sesebuah penghasilan produk baru. Dimana mahu mencari modal dan berapa kos produk yang mahu dibuat itu.
  3. Usahawan juga mungkin akan menghadapi masalah semasa penghasilan produk dan untuk mengatasinya mereka perlukan pengalaman. Mereka yang belum pernah ada pengalaman dalam membuat produk baru akan menyebabkan masalah tersebut sukar untuk diatasi.


START UP

Setelah produk siap usahawan juga akan menghadapi masalah lain iaitu :

  1. Pengurusan sangat penting dalam setiap perniagaan. Usahawan perlu pandai menguruskan syarikat dan juga menguruskan pekerjanya dalam menghasilakn produk yang banyak dan berkualiti. Pengurusan yang bermasalah mungkin akan menyebabkan perniagaan tersebut bankrup.
  2. Usahawan perlu tahu bagaimana untuk memasarkan produk baru tersebut. Pelbagai kemahiran dan kaedah yang perlu usahawan pelajari semasa ingin memasarkan produk agar ia menjadi suatu produk yang terkenal dan memberi manfaat kepada pengguna secepatnya.


POST START UP 

Masalah yang akan dihadapi oleh usahawan pada peringkat ini ialah:

  1. Kitaran hayat produk, usahawan perlu tahu cara yang terbaik supaya kitaran hayat produk tersebut tidak akan tamat begitu sahaja. Cara yang boleh dilakukan ialah dengan menambahkan jumlah produk atau cara penggunaanya juga boleh ditambah lagi. Selain itu, harga yang berpatutan juga memainkan peranan dalam memastikan produk tersebut masih mendapat sambutan para pengguna.
  2. Kepuasan pelanggan, pelanggan akan selalu mencari produk yang lebih baru dan lebih baik kesannya kepada mereka. Sifat mereka juga cepat berubah kepada satu produk kepada satu produk yang lain.Jadi usahawan perlulah mengambil tindakan yang cepat agar pelanggan mereka tidak beralih ke produk yang lain.






Wednesday, 21 October 2015

Artikel tentang Budaya Usahawan dan bagaimana membangunkan budaya tersebut



Artikel 1

Pembudayaan Keusahawanan melalui Sistem Pendidikan Negara 

Proses pembudayaan keusahawanan merupakan satu proses jangka panjang dan memerlukan usaha berterusan. Di negara kita proses pembudayaan keusahawanan telah menjadi satu tumpuan utama dan ianya telah dimulakan dengan melibatkan golongan pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum. Memandangkan betapa pentingnya bidang keusahawanan ini dan juga selaras dengan matlamat kerajaan yang berhasrat menyusun semula masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, maka kerajaan telah merangka strategi untuk membentuk budaya usahawan yang lebih berkesan dan berstruktur. 

Pembudayaan keusahawan ini dapat dibahagikan kepada program yang berbentuk secara langsung atau tidak langsung dan dijalankan oleh pelbagai pihak. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Program Pembudayaan Keusahawanan melalui kurikulum sekolah. Beberapa sukatan pelajaran berkaitan dengan keusahawanan seperti Prinsip Akaun, Perdagangan, Pengajian Perniagaan, 
Kemahiran Hidup, Matapelajaran Vokasional, Ekonomi Asas, Ekonomi Rumahtangga, dan sebagainya telah dibentuk untuk tujuan berkenaan. (Abdul Said, 2012). Manakala Institut Keusahawanan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula memperkenalkan Program Usahawan Muda (PUM) kepada pelajar sekolah menengah. Ia bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman “hands-on” kepada pelajar sekolah mengenai sistem operasi dan pembubaran syarikat berdasarkan model koperasi. Ia juga meliputi Simposium Keusahawanan, Konvensyen PUM dan Kem Keusahawanan [Program Usahawan Muda (PUM), 2012]. 

Pembudayaan Keusahawanan di IPT 

Elemen terpenting untuk memupuk sesuatu budaya itu adalah bermula dari peringkat awal dan ia diterajui oleh sistem pendidikan negara. Maka tidak hairanlah mengapa kerajaan telah memperkenalkan unsur amalan keusahawanan dalam kurikulum yang bertujuan menyemai dan memupuk budaya keusahawanan. Pendidikan formal dalam bidang keusahawanan melahirkan generasi baharu usahawan yang dapat memajukan usahawan dan negara. Di dalam Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Tinggi Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, kerajaan berhasrat melihat institusi pengajian tinggi negara memainkan peranan penting dalam merangsang perubahan negara ke arah K-ekonomi atau ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam konteks ini, ekonomi kita haruslah berasaskan kepada inovasi dan bukan lagi berasaskan pelaburan modal semata-mata. Inovasi adalah merupakan salah satu ciri penting keusahawanan. Hanya dengan pengetahuan dan inovasi Malaysia mampu bersaing dan berjaya di arena antarabangsa. Program pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar pengajian tinggi bermula sejak tahun 1989 melalui Program Pembangunan Usaha Siswa yang bertujuan mendedahkan golongan siswa kepada asas-asas keusahawanan menerusi seminar atau bengkel. Program ini terus diperkembangkan kepada 10 buah IPTA pada tahun 1995. Dua lagi program baru telah perkenalkan mulai 2001 iaitu Latihan Keusahawanan Siswa yang memberi panduan dari aspek peluang, kaedah dan perancangan perniagaan serta Kursus Asas Keusahawanan Siswa yang disasar kepada siswa tahun akhir. Sewaktu berucap di Majlis Perasmian Karnival Usahawan IPTA di Johor Baharu pada 23 Disember 2004, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada ketika itu memaklumkan hasil pelaksanaan ketiga-tiga program di atas telah memberi pendedahan dan latihan keusahawanan kepada 37,191 orang mahasiswa. Sebahagian besarnya diberi pendedahan keusahawanan menerusi Program Pembangunan Usaha Siswazah iaitu melibatkan seramai 33,035 pelajar, diikuti dengan Latihan Keusahawanan Siswa seramai 3,215 dan baki 941 orang lagi pelajar mengikuti Kursus Asas Keusahawanan Siswa. (Mohamed Khaled, 2007). 


Pada tahun 2004 satu lagi program keusahawanan turut diperkenalkan di kampus iaitu ‘Student In Free Enterprise’ atau SIFE1. Program ini telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi untuk menyertai pertandingan keusahawanan pelajar di peringkat antarabangsa. Persada ini mengaktifkan golongan siswa untuk berfikir secara global dalam usaha untuk menerobos pasaran yang lebih besar dan berpeluang menikmati kekayaan yang terdapat di peringkat dunia. Menerusi program SIFE mahasiswa dilatih untuk merancang dan mengendalikan aktiviti yang memiliki elemen keusahawanan yang diuruskan secara berkumpulan. Program ini dilaksana untuk satu jangkamasa tertentu dan yang lebih pentingnya adalah kumpulan mahasiswa tersebut berpeluang berurusan dan membina rangkaian kerjasama dengan sektor korporat. Program ini seterusnya diperkasakan menerusi geran daripada yayasan atau pihak swasta. 

Beberapa anugerah juga telah diperkenalkan seperti anugerah etika keusahawanan yang tinggi dan anugerah kepada syarikat yang berjaya menghasilkan pelan penjimatan kos perniagaan. SIFE juga mempertingkatkan keberkesanan program 'intership’, menawarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar yang menang dan 'special attachment’ selama beberapa bulan di universiti luar negara di mana pelajar-pelajar tersebut berkongsi pengalaman bersama usahawan yang berjaya sebagai mentor. Senario ini merupakan sesuatu yang amat bernilai untuk mereka membina 'networking’ bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan rakan-rakan 'internship’ dari negara lain yang mengikuti program tersebut (Mohamed Khaled, 2007). 

Pembudayaan keusahawanan di kalangan belia.

Program pembangunan keusahawanan dilaksanakan bagi memupuk potensi keusahawanan di kalangan belia dan untuk membolehkan mereka menyertai perniagaan secara aktif serta menggalakkan mereka bekerja sendiri. Bagi mencapai tujuan ini, Majlis Amanah Rakyat dan institusi latihan seperti Institut Keusahawanan Belia Negara menganjurkan latihan, seminar dan kursus jangka pendek serta menyediakan khidmat nasihat kepada usahawan muda dan baru. Dalam tempoh Rancangan, seramai 79,740 belia di peringkat negeri dan daerah mendapat manfaat daripada program ini.

Langkah telah diambil bagi memupuk semangat dan budaya keusahawanan di kalangan pelajar di sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Program Usahawan Muda yang melibatkan penubuhan Kedai Koperasi dilaksanakan di sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Aktiviti kokurikulum yang menggabungkan unsur keusahawanan juga dilaksanakan. Di bawah Program Pembangunan Usahasiswa, seramai 32,470 penuntut di institusi pendidikan tinggi awam telah menyertai pelbagai aktiviti perniagaan seperti Kelab Keusahawanan Desasiswa dan Pasar Pelajar.


Menyedari bahawa penggunaan ICT boleh meningkatkan produktiviti, pelbagai usaha telah diambil bagi menggalak usahawan muda menggunakan lebih banyak aplikasi berintensifkan pengetahuan dalam perniagaan mereka. Sehubungan ini, Program Pembangunan Usahawan Belia ICT dianjurkan dalam tempoh Rancangan dan telah memberi manfaat kepada 25,710 belia. Dalam program ini, kursus celik komputer, perisian dan pensijilan sains komputer serta seminar mengenai pembangunan keusahawanan telah dianjurkan bagi membangun dan meningkatkan pengetahuan serta kefahaman tentang aplikasi ICT di kalangan usahawan muda.


Artikel 2


BUDAYA KEUSAHAWANAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Budaya bermaksud kemajuan fikiran, akal budi (cara pemikiran, berkelakuan dan sebagainya). Ia juga ditafsirkan sebagai satu set sikap, tingkah laku, nilai-nilai dan tindakan yang dikongsi bersama oleh sekumpulan manusia, syarikat dan sebagainya.
Keusahawanan pula adalah merupakan kata terbitan usahawan yang merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan usahawan. Oleh yang demikian budaya keusahawanan bolehlah disimpulkan sebagai cara pemikiran, sikap, norma dan kelakuan yang dimiliki dan dipraktikkan oleh individu usahawan itu sendiri.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, Islam amat menyanjung bidang keusahawanan dan memberikan keistimewaan khusus kepada usahawan. Untuk menyemai budaya keusahawanan ini kita perlu mengenali dan mengetahui apakah ciri-ciri dan gelagat yang perlu ada dan harus diamalkan oleh setiap usahawan muslim. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

       1. Mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan
Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ia merupakan asas pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah usahawan. Dalam bidang perniagaan, Islam mewajibkan setiap usahawan untuk berpegang teguh dengan nilai yang baik dan menjauhi nilai-nilai yang buruk. Oleh sebab itulah jaminan hanya diberikan kepada usahawan yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja.
Ciri-ciri, gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan sebagai sikap yang positif atau terpuji (mahmudah). Malah Rasul sendiri sebagai peniaga yang berjaya telah menunjukkan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan seharian baginda. Baginda berjaya membuktikan bahawa dengan mengamalkan sifat-sifat yang baik, perniagaan masih menguntungkan malah lebih baik berbanding peniaga yang tidak jujur. Keuntungan yang menjadi objektif baginda bukanlah semata-mata keuntungan kebendaan tetapi keredaan Allah adalah lebih utama.
 Dalam membicarakan nilai-nilai murni keusahawanan, berikut adalah antara contoh nilai yang banyak disentuh dalam al-Quran dan al-Sunnah.:

a)      Nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik
b)      Berani menghadapi risiko
c)      Amanah
d)      Sabar
e)      Bersedekah

       2. Konsep Ubudiyah
Islam sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan perniagaan dengan nilai-nilai agama. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya tetapi juga dikira ibadat dalam Islam dan akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat. Usahawan muslim tidak seharusnya menjadikan untung material semata-mata sebagai objektif tertinggi. Objektif akhir haruslah difokuskan ke arah mencapai keredaan Allah. Sebagai khalifah yang mentadbir dan memakmurkan bumi Allah, manusia haruslah sentiasa menuruti segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Manusia tidak mempunyai kuasa yang mutlak dalam semua hal, bahkan segala-galanya adalah dalam pengetahuan dan ketentuan Allah semata-mata. Inilah yang menjadikan banyak konsep yang berbeza antara perniagaan dalam Islam dan konvensional.

3. Jaringan perniagaan yang kukuh
Apabila hijrah umat Islam berlaku, antara strategi utama Rasulullah adalah membina masjid dan seterusnya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Strategi ini merupakan asas kepada pengukuhan dan kekuatan masyarakat Islam yang masih baru di Madinah pada ketika itu. Ternyata strategi ini berjaya untuk membentuk ummah yang kuat dan berjaya mengalahkan musuh yang datang daripada luar. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kesatuan dan semangat kekitaan amat penting dalam membentuk satu komuniti yang kukuh termasuklah juga komuniti usahawan. Usahawan muslim seharusnya mempunyai jaringan keusahawanan yang kuat agar mereka dapat saling bantu-membantu memperkuat antara satu sama lain.

4. Tadbir urus korporat yang baik
Tadbir urus korporat merujuk kepada sistem di mana sesebuah syarikat diurus dan dikawal selia. Lembaga pengarah bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat manakala pemegang saham berperanan untuk melantik pengarah-pengarah dan juruaudit dan memastikan struktur yang betul sentiasa berjalan.22 Dalam konsep tadbir urus ini, fokus diberikan kepada soal-soal berkenaan tanggungjawab, akauntabiliti, ketelusan, kesepakatan dan kepimpinan. Hal ini penting bagi memastikan setiap individu dalam organisasi menjalankan tugas masing-masing dan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada demi kepentingan peribadi. Islam juga telah menetapkan mekanisme pengawalan yang lengkap meliputi pengawalan luaran dan kendiri. Mekanisme kawalan luaran adalah persekitaran individu itu sendiri meliputi rakan sekerja, organisasi dan masyarakat. Mekanisme ini wujud atas kesedaran bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab masing masing dan akan dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya di akhirat nanti.

5. Kreatif dan inovatif

Kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea yang asli. Manakala inovatif adalah perihal memulakan sesuatu yang baru.26 Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai kreatif dan inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan. Sifat inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia.

Sunday, 18 October 2015

Ulasan video kisah kejayaan usahawan bumiputera


Assalamualaikum..

Perkara yang saya dapat pelajari melalui video tersebut ialah kerajaan banyak membantu usahawan-usahawan bumiputera ini melalui agensi-agensinya.Kerajaan juga tidak memilih ahli politik atau sesiapa sahaja, bantu diberikan kepada semua lapisan masyarakat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.

Usahawan yang minat berniaga tidak perlu risau untuk mendapatkan modal hanya melalui pinjaman bank sahaja. Apabila bank tidak mahu memberikan pinjaman kepada usahawan tersebut mereka terus menjadi buntu dan tidak mahu meneruskan perniagaan mereka.

Agensi-agensinya ialah Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Amanah ikhtiar Malaysia, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad, Majlis amanah rakyat   (MARA), Ekuiti nasional berhad (ekuinas), Teraju, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), MDEC untuk usahawan ict, Agro Bank dan Ministry of International Trade and Industry (MITI).

Kerajaan menggalakkan usahawan bumiputera ini menjadi pemegang franchise, kebanyakkan agensi yang memberi pinjaman wang juga mereka mengikut syariah islam, jadi usahawan bumiputera tidak perlu takut dengan kadar bunga yang tinggi. Selain itu, boleh dikatakan kebanyakkan agensi memberi bantu latihan, kemahiran, perkongsian ilmu,mentoring kepada usahawan yang baru untuk bersama-sama berjaya didalam perniagaan yang mereka ceburi.

Kesimpulannya, kerajaan  menggalakkan kaum bumiputera untuk  menjadi pesaing kepada kaum bukan bumiputera didalam perniagaan bagi meningkat pertumbuhan ekonomi negara.