Artikel 1
Pembudayaan Keusahawanan melalui Sistem
Pendidikan Negara
Proses pembudayaan keusahawanan
merupakan satu proses jangka panjang dan memerlukan usaha berterusan. Di negara
kita proses pembudayaan keusahawanan telah menjadi satu tumpuan utama dan ianya
telah dimulakan dengan melibatkan golongan pelajar di peringkat sekolah rendah,
menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum.
Memandangkan betapa pentingnya bidang keusahawanan ini dan juga selaras dengan
matlamat kerajaan yang berhasrat menyusun semula masyarakat perdagangan dan
perindustrian bumiputera, maka kerajaan telah merangka strategi untuk membentuk
budaya usahawan yang lebih berkesan dan berstruktur.
Pembudayaan keusahawan ini dapat
dibahagikan kepada program yang berbentuk secara langsung atau tidak langsung
dan dijalankan oleh pelbagai pihak. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah
melaksanakan Program Pembudayaan Keusahawanan melalui kurikulum sekolah.
Beberapa sukatan pelajaran berkaitan dengan keusahawanan seperti Prinsip Akaun,
Perdagangan, Pengajian Perniagaan,
Kemahiran Hidup, Matapelajaran
Vokasional, Ekonomi Asas, Ekonomi Rumahtangga, dan sebagainya telah dibentuk
untuk tujuan berkenaan. (Abdul Said, 2012). Manakala Institut Keusahawanan
Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula memperkenalkan Program
Usahawan Muda (PUM) kepada pelajar sekolah menengah. Ia bertujuan memberikan
pendedahan dan pengalaman “hands-on” kepada pelajar sekolah mengenai sistem
operasi dan pembubaran syarikat berdasarkan model koperasi. Ia juga meliputi
Simposium Keusahawanan, Konvensyen PUM dan Kem Keusahawanan [Program Usahawan
Muda (PUM), 2012].
Pembudayaan Keusahawanan di IPT
Elemen terpenting untuk memupuk
sesuatu budaya itu adalah bermula dari peringkat awal dan ia diterajui oleh
sistem pendidikan negara. Maka tidak hairanlah mengapa kerajaan telah
memperkenalkan unsur amalan keusahawanan dalam kurikulum yang bertujuan
menyemai dan memupuk budaya keusahawanan. Pendidikan formal dalam bidang
keusahawanan melahirkan generasi baharu usahawan yang dapat memajukan usahawan
dan negara. Di dalam Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Tinggi Negara,
Kementerian Pengajian Tinggi, kerajaan berhasrat melihat institusi pengajian
tinggi negara memainkan peranan penting dalam merangsang perubahan negara ke
arah K-ekonomi atau ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam konteks ini, ekonomi
kita haruslah berasaskan kepada inovasi dan bukan lagi berasaskan pelaburan
modal semata-mata. Inovasi adalah merupakan salah satu ciri penting
keusahawanan. Hanya dengan pengetahuan dan inovasi Malaysia mampu bersaing dan
berjaya di arena antarabangsa. Program pembudayaan keusahawanan di kalangan
pelajar pengajian tinggi bermula sejak tahun 1989 melalui Program Pembangunan
Usaha Siswa yang bertujuan mendedahkan golongan siswa kepada asas-asas keusahawanan
menerusi seminar atau bengkel. Program ini terus diperkembangkan kepada 10 buah
IPTA pada tahun 1995. Dua lagi program baru telah perkenalkan mulai 2001 iaitu
Latihan Keusahawanan Siswa yang memberi panduan dari aspek peluang, kaedah dan
perancangan perniagaan serta Kursus Asas Keusahawanan Siswa yang disasar kepada
siswa tahun akhir. Sewaktu berucap di Majlis Perasmian Karnival Usahawan IPTA
di Johor Baharu pada 23 Disember 2004, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang
merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada ketika itu memaklumkan
hasil pelaksanaan ketiga-tiga program di atas telah memberi pendedahan dan
latihan keusahawanan kepada 37,191 orang mahasiswa. Sebahagian besarnya diberi
pendedahan keusahawanan menerusi Program Pembangunan Usaha Siswazah iaitu
melibatkan seramai 33,035 pelajar, diikuti dengan Latihan Keusahawanan Siswa
seramai 3,215 dan baki 941 orang lagi pelajar mengikuti Kursus Asas
Keusahawanan Siswa. (Mohamed Khaled, 2007).
Pada tahun 2004 satu lagi program
keusahawanan turut diperkenalkan di kampus iaitu ‘Student In Free Enterprise’
atau SIFE1. Program ini telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi untuk menyertai pertandingan keusahawanan pelajar di peringkat
antarabangsa. Persada ini mengaktifkan golongan siswa untuk berfikir secara
global dalam usaha untuk menerobos pasaran yang lebih besar dan berpeluang
menikmati kekayaan yang terdapat di peringkat dunia. Menerusi program SIFE
mahasiswa dilatih untuk merancang dan mengendalikan aktiviti yang memiliki
elemen keusahawanan yang diuruskan secara berkumpulan. Program ini dilaksana
untuk satu jangkamasa tertentu dan yang lebih pentingnya adalah kumpulan
mahasiswa tersebut berpeluang berurusan dan membina rangkaian kerjasama dengan
sektor korporat. Program ini seterusnya diperkasakan menerusi geran daripada
yayasan atau pihak swasta.
Beberapa anugerah juga telah
diperkenalkan seperti anugerah etika keusahawanan yang tinggi dan anugerah
kepada syarikat yang berjaya menghasilkan pelan penjimatan kos perniagaan. SIFE
juga mempertingkatkan keberkesanan program 'intership’, menawarkan biasiswa
untuk pelajar-pelajar yang menang dan 'special attachment’ selama beberapa
bulan di universiti luar negara di mana pelajar-pelajar tersebut berkongsi
pengalaman bersama usahawan yang berjaya sebagai mentor. Senario ini merupakan
sesuatu yang amat bernilai untuk mereka membina 'networking’ bukan sahaja
sesama mereka tetapi juga dengan rakan-rakan 'internship’ dari negara lain yang
mengikuti program tersebut (Mohamed Khaled, 2007).
Pembudayaan
keusahawanan di kalangan belia.
Program
pembangunan keusahawanan dilaksanakan bagi memupuk potensi keusahawanan di
kalangan belia dan untuk membolehkan mereka menyertai perniagaan secara aktif
serta menggalakkan mereka bekerja sendiri. Bagi mencapai tujuan ini, Majlis
Amanah Rakyat dan institusi latihan seperti Institut Keusahawanan Belia Negara
menganjurkan latihan, seminar dan kursus jangka pendek serta menyediakan
khidmat nasihat kepada usahawan muda dan baru. Dalam tempoh Rancangan, seramai
79,740 belia di peringkat negeri dan daerah mendapat manfaat daripada program
ini.
Langkah
telah diambil bagi memupuk semangat dan budaya keusahawanan di kalangan pelajar
di sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Program Usahawan Muda yang
melibatkan penubuhan Kedai Koperasi dilaksanakan di sekolah dengan kerjasama
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Aktiviti kokurikulum yang menggabungkan
unsur keusahawanan juga dilaksanakan. Di bawah Program Pembangunan Usahasiswa,
seramai 32,470 penuntut di institusi pendidikan tinggi awam telah menyertai
pelbagai aktiviti perniagaan seperti Kelab Keusahawanan Desasiswa dan Pasar
Pelajar.
Menyedari
bahawa penggunaan ICT boleh meningkatkan produktiviti, pelbagai usaha telah
diambil bagi menggalak usahawan muda menggunakan lebih banyak aplikasi
berintensifkan pengetahuan dalam perniagaan mereka. Sehubungan ini, Program
Pembangunan Usahawan Belia ICT dianjurkan dalam tempoh Rancangan dan telah
memberi manfaat kepada 25,710 belia. Dalam program ini, kursus celik komputer,
perisian dan pensijilan sains komputer serta seminar mengenai pembangunan
keusahawanan telah dianjurkan bagi membangun dan meningkatkan pengetahuan serta
kefahaman tentang aplikasi ICT di kalangan usahawan muda.
Artikel 2
BUDAYA
KEUSAHAWANAN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Budaya
bermaksud kemajuan fikiran, akal budi (cara pemikiran, berkelakuan dan
sebagainya). Ia juga ditafsirkan sebagai satu set sikap, tingkah laku,
nilai-nilai dan tindakan yang dikongsi bersama oleh sekumpulan manusia,
syarikat dan sebagainya.
Keusahawanan
pula adalah merupakan kata terbitan usahawan yang merujuk kepada
perkara-perkara yang berkaitan dengan usahawan. Oleh yang demikian budaya
keusahawanan bolehlah disimpulkan sebagai cara pemikiran, sikap, norma dan
kelakuan yang dimiliki dan dipraktikkan oleh individu usahawan itu sendiri.
Sebagaimana
yang telah dinyatakan, Islam amat menyanjung bidang keusahawanan dan memberikan
keistimewaan khusus kepada usahawan. Untuk menyemai budaya keusahawanan ini
kita perlu mengenali dan mengetahui apakah ciri-ciri dan gelagat yang perlu ada
dan harus diamalkan oleh setiap usahawan muslim. Antara ciri-ciri tersebut
adalah seperti berikut:
1. Mengamalkan nilai-nilai murni
keusahawanan
Nilai dan
akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ia merupakan asas
pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah usahawan. Dalam bidang
perniagaan, Islam mewajibkan setiap usahawan untuk berpegang teguh dengan nilai
yang baik dan menjauhi nilai-nilai yang buruk. Oleh sebab itulah jaminan hanya
diberikan kepada usahawan yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja.
Ciri-ciri,
gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan sebagai sikap yang
positif atau terpuji (mahmudah). Malah Rasul sendiri sebagai peniaga yang
berjaya telah menunjukkan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan seharian baginda.
Baginda berjaya membuktikan bahawa dengan mengamalkan sifat-sifat yang baik,
perniagaan masih menguntungkan malah lebih baik berbanding peniaga yang tidak
jujur. Keuntungan yang menjadi objektif baginda bukanlah semata-mata keuntungan
kebendaan tetapi keredaan Allah adalah lebih utama.
Dalam membicarakan nilai-nilai murni
keusahawanan, berikut adalah antara contoh nilai yang banyak disentuh dalam
al-Quran dan al-Sunnah.:
a) Nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik
b) Berani menghadapi risiko
c) Amanah
d) Sabar
e) Bersedekah
2. Konsep Ubudiyah
Islam
sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan perniagaan dengan
nilai-nilai agama. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya tetapi juga
dikira ibadat dalam Islam dan akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat.
Usahawan muslim tidak seharusnya menjadikan untung material semata-mata sebagai
objektif tertinggi. Objektif akhir haruslah difokuskan ke arah mencapai
keredaan Allah. Sebagai khalifah yang mentadbir dan memakmurkan bumi Allah,
manusia haruslah sentiasa menuruti segala perintah dan meninggalkan segala
larangannya. Manusia tidak mempunyai kuasa yang mutlak dalam semua hal, bahkan
segala-galanya adalah dalam pengetahuan dan ketentuan Allah semata-mata. Inilah
yang menjadikan banyak konsep yang berbeza antara perniagaan dalam Islam dan
konvensional.
3. Jaringan
perniagaan yang kukuh
Apabila
hijrah umat Islam berlaku, antara strategi utama Rasulullah adalah membina
masjid dan seterusnya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Strategi ini
merupakan asas kepada pengukuhan dan kekuatan masyarakat Islam yang masih baru
di Madinah pada ketika itu. Ternyata strategi ini berjaya untuk membentuk ummah
yang kuat dan berjaya mengalahkan musuh yang datang daripada luar. Peristiwa
ini menunjukkan bahawa kesatuan dan semangat kekitaan amat penting dalam
membentuk satu komuniti yang kukuh termasuklah juga komuniti usahawan. Usahawan
muslim seharusnya mempunyai jaringan keusahawanan yang kuat agar mereka dapat
saling bantu-membantu memperkuat antara satu sama lain.
4. Tadbir
urus korporat yang baik
Tadbir urus
korporat merujuk kepada sistem di mana sesebuah syarikat diurus dan dikawal
selia. Lembaga pengarah bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat manakala
pemegang saham berperanan untuk melantik pengarah-pengarah dan juruaudit dan
memastikan struktur yang betul sentiasa berjalan.22 Dalam konsep tadbir urus
ini, fokus diberikan kepada soal-soal berkenaan tanggungjawab, akauntabiliti,
ketelusan, kesepakatan dan kepimpinan. Hal ini penting bagi memastikan setiap
individu dalam organisasi menjalankan tugas masing-masing dan tidak
menyalahgunakan kuasa yang ada demi kepentingan peribadi. Islam juga telah
menetapkan mekanisme pengawalan yang lengkap meliputi pengawalan luaran dan
kendiri. Mekanisme kawalan luaran adalah persekitaran individu itu sendiri
meliputi rakan sekerja, organisasi dan masyarakat. Mekanisme ini wujud atas
kesedaran bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab masing masing dan akan
dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya di akhirat nanti.
5. Kreatif
dan inovatif
Kreatif
bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu
idea yang asli. Manakala inovatif adalah perihal memulakan sesuatu yang baru.26
Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai kreatif dan
inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan. Sifat
inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap
sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia.
No comments:
Post a Comment